Followers

Tuesday, May 17, 2011

Saintis Buktikan Nabi Musa Belah Laut



BOULDER, Amerika Syarikat (AS) - Saintis-saintis di AS membuktikan
kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam
kitab suci al-Quran dan Injil,
lapor sebuah akhbar semalam.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis
Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini,
mendapati fenomena itu tidak bercanggah
dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan
menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum
Bani Israel terperangkap di antara pasukan
tentera Firaun yang sedang mara dan
laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai
Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini
dikenali sebagai Tasik Tanis
di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu
cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu
menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses
tiupan angin kencang yang dikenali
sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j)
selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai
dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi
bagi melihat kesan angin yang bertiup semalaman ke atas air
sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan
darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali
mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public
Library of Science ONE. - Agensi

solihinzubir

No comments: